Tuesday, April 25, 2006

Bertunang menurut syariat

Dah cakap hal kahwin, mai kita tengok isu bertunang pulak... apa dia bertunang ni? Pertunangan adalah merupakan persetujuan seseorang lelaki atau perempuan untuk berkahwin pada masa akan datang. Ini adalah maksud pertunangan yang sebenarnya. Dalam masyarakat kita hari ini, istilah tunang ini hanya digunakan apabila telah ada persetujuan di antara keluarga kedua-dua belah pihak untuk mengadakan akad nikah pada masa yang akan ditetapkan. Masyarakat kita menganggap bahawa bertunang mestilah melibatkan persetujuan keluarga. Ini adalah salah sama sekali.

Sebenarnya, istilah bertunang yang sebenarnya adalah merujuk kepada persetujuan lelaki dan perempuan untuk berkahwin dan tidak semestinya melibatkan persetujuan keluarga. Tetapi perlu ditegaskan, definasi ini bukanlah untuk menafikan penglibatan keluarga kerana pada peringkat pertunangan sebenarnya tidaklah ada apa lagi hubungan yang boleh menghalalkan perkara yang diharamkan sebelum mereka diakadkan (hubungan jimak). Ini perlu dijelaskan kerana ada hadis yang membincangkan hal bahawa haram meminang tunangan orang lain.

Hadis Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w pernah bersabda: Jangan ada di antara kamu yang menjual atas jualan orang lain dan juga jangan ada di antara kamu yang meminang terhadap pinangan orang lain (Riwayat Muslim:2530). Ini bermakna adalah salah dan berdosa sekiranya seseorang perempuan itu dikahwinkan dengan lelaki lain selain tunangnya. Malangnya dalam masyarakat kita hari ini sering terlepas pandang hal ini.

Justeru itu sebenarnya di dalam Islam, sememangnya wujud hubungan di antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin yang dipanggil tunang. Jadi apa bezanya hubungan "teman lelaki dan teman wanita?" Apakah perbezaan kedua-dua istilah tadi dengan tunang? Kita memahami istilah teman lelaki dan teman perempuan kerana terpengaruh dengan budaya Barat yang terlalu obses di dalam menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan. Kerana itulah, istilahnya ada perkataan "teman" kerana hubungan tersebut hanyalah bersifat kawan bukannya bersungguh-sungguh untuk mengahwini lelaki dan perempuan yang menjadi teman istimewanya itu. Sedangkan tunang adalah kata putus (tidak semestinya melibatkan keluarga) kedua-dua pihak untuk mendirikan rumahtangga.

Seringkali kita terdengar anak gadis lari dari rumah kerana tidak mahu dikahwinkan dengan lelaki pilihan ibubapanya. Ini sering terjadi kerana tiadanya persefahaman antara si anak dengan ibubapa. "Kami dulu kawin, mak bapak kami yang tentukan, bahagia sampai sekarang." Inilah ayat basi yang sering menjadi alasan dipihak ibubapa tatkala menolak calon pilihan anak2 mereka. Kita harus sedar, dunia semakin berubah, teknologi semakin meningkat, dan perangai manusia juga semakin berubah.

Kalau dulu, istilah bapa borek, anak rintik masih boleh dipakai, kini istilah itu tidak relevan sama sekali. Kalau dulu kita lihat si bapa kaki masjid, kita sudah boleh mengagak akhlak anak-anaknya. Tapi sekarang, walaupun sibapa merupakan tok imam masjid sekalipun, anak mungkin penagih dadah. Ini adalah realiti. Globalisasi mengajar kita untuk mengenali manusia dari hatinya, bukan rupa luarannya dan 'bertunang' mungkin boleh menjadi satu platform untuk mengenali bakal pasangan hidup dengan lebih dekat tetapi tidak terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan agama...

No comments:

Post a Comment