Tuesday, January 24, 2006

Isu Cukai Lagi....

Selepas MB Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid mengumumkan kenaikan tarif cukai tanah di Kedah, boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja rungutan dan keluhan daripada orang ramai yang disiarkan di akhbar. Lihat saja keluhan terbaru seorang mangsa penipuan kerajaan dari Kulim ini yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia...

Kenaikan cukai tanah terlalu tinggi

SAYA mendiami rumah teres setingkat (lot tepi 608 meter persegi) di Kulim, Kedah sejak 1999 dan dikenakan cukai tanah sebanyak RM55 (0.09 sen/meter persegi).

Alangkah terkejut apabila ke Pejabat Tanah Kulim pada 1 Januari 2006, saya dikenakan cukai sebanyak RM122 (0.20 sen/meter persegi).

Peratusan kenaikan cukai tersebut adalah 222 peratus berbanding kenyataan akhbar Menteri Besar Kedah dalam Utusan Malaysia 19 Januari 2006 yang menyatakan kenaikan bagi lot kediaman adalah antara 20 peratus hingga 156 peratus. Mana satu betul?

Saya berharap Menteri Besar Kedah dapat mengkaji semula kenaikan cukai tanah yang terlalu tinggi dan mendadak ini.

- KELIRU,
Kulim, Kedah.


Jika situasi ini benar-benar terjadi, maka amat malanglah bagi rakyat negeri Kedah ini yang secara terang-terangan telah ditipu hidup-hidup oleh MB dan kerajaan negeri Kedah. Keluhan dan rungutan yang telah disuarakan ini bukan dibuat-buat dan sengaja diperbesarkan, tetapi merupakan suatu rintihan daripada insan-insan yang bernama marhaen, yang tak punya kuasa dan kedudukan. Apakah MB Kedah dan kerajaan negeri amnya sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga atau mereka memang benar-benar buta? Kita sedar kerajaan mempunyai tunggakan hutang yang banyak dengan kerajaan pusat akan tetapi ini bukanlah cara yang sesuai untuk menambah dana kewangan negeri kerana ianya amat membebankan rakyat, lebih-lebih lagi rakyat kerdil seperti KELIRU dari Kulim tadi. Renung-renungkanlah.....

Saturday, January 21, 2006

Bukti Kenaikan Cukai Tanah Membebankan Rakyat

2 hari yang lalu, blog ini telah menyiarkan artikel mengenai kenaikan cukai tanah di Kedah. Penulis telah membuat ramalan mengenai kesan yang terpaksa di tanggung oleh rakyat akibat kenaikan yang tidak masuk akal ini dan pada hari ini, akhbar Berita Harian telah menyiarkan sepucuk surat yang dihantar oleh seorang marhaen dari Kulim yang jelas mempertikaikan kewajaran kenaikan cukai ini. Berikut adalah teks penuh surat tersebut....

Kenaikan cukai tanah di Kedah melampau

TERPANGGIL saya untuk mengulas mengenai kenaikan cukai tanah di negeri Kedah. Baru-baru ini saya ke kaunter Pejabat Tanah Kulim, Kedah dan mendapati ramai yang beratur untuk mendapatkan bil cukai tanah 2006.

Rata-rata yang menerima bil akan bertanya sekali lagi kepada kaunter untuk mendapat kepastian. Semua menggeleng kepala dan merungut. Terkejut saya bila melihat cukai tanah ibu saya. Daripada RM60 dinaikkan kepada RM250 bagi tanah kediaman berhampiran pekan di luar bandar, naik empat kali ganda.

Tanah nenek saya pula tanah kampung naik daripada RM3 kepada RM8. Naik hampir tiga kali ganda. Seorang tauke Cina pula terkejut kerana cukai tanahnya naik dari RM150 kepada hampir RM500, lalu membayarnya juga dan berkata, “Nanti jangan marah kalau saya juga naik harga barang, saya pun tidak berani naik ini macam punya tinggi”.

Selama 10 tahun cukai tanah tidak dinaikkan tetapi dengan kepesatan pembangunan di Kedah, sudah tentu dengan kadar kutipan cukai tanah sedia ada akan berlipat kali ganda. Bayangkan dulunya tanah estet diubah syarat kepada tanah kediaman yang bilangan bil cukai tanahnya berkali-kali ganda banyaknya.

Kalau hendak dinaikkan pun biarlah pada kadar munasabah dan tidak membebankan. Contohnya, naiklah pada kadar 30 hinga 50 peratus bagi setiap lima tahun. Buatlah seperti kadar tol, kenaikan harga barang, kadar cukai pintu dan sebagainya. Bayangkanlah betapa perit dan sakitnya rakyat.

Sudah 10 tahun berjalan kaki di tanah rata, tiba-tiba sekelip mata dipaksa mendaki gunung curam. Biarlah diminta untuk naik tangga terlebih dulu.Diharap kerajaan negeri dapat menimbangkan luahan rasa hati rakyat Kedah.

Wujudkan satu struktur kenaikan kadar cukai tanah yang baru dan paling penting tidak membebankan rakyat. Rakyat gembira dan bahagia, kerajaan juga akan terasa nikmatnya.

YANG MERINTIH,
Kulim, Kedah.

___________________________________________________

Selepas ini tunggulah pula kenaikan harga barang di negeri Jelapang Padi ini. Apa yang pasti disini, kerajaan jelas tidak membuat kajian secara terperinci sebelum mengumumkan struktur cukai baru. Asal nak naik, naik saja ikut suka hati. Ingat, harga barang TIDAK akan turun sekalipun cukai diturunkan pada masa depan. Oleh itu, kerajaan negeri masih belum terlewat untuk menyemak semula struktur cukai ini sebelum harga barang di Kedah merobek poket pengguna.

Thursday, January 19, 2006

Cukai Tanah Di Kedah Naik

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan cukai tanah di Kedah akan dinaikkan antara 20%-156% berkuatkuasa awal tahun ini. Kenaikan yang paling tinggi adalah melibatkan kawasan bandar. Berikut adalah teks penuh artikel tersebut....

ALOR STAR 18 Jan. - Kerajaan negeri Kedah menaikkan kadar cukai tanah antara 20 peratus dan 156 peratus kepada lebih 643,839 pemilik tanah di negeri ini berkuat kuasa awal tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Mahdzir Khalid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas tiada sebarang semakan dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sejak 10 tahun lalu.


``Kenaikan taraf hidup termasuk kewujudan 20 bandar berbanding hanya tujuh bandar di negeri ini mewajarkan semakan semula itu dilakukan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mahdzir memberitahu, antara kenaikan cukai tanah paling tinggi melibatkan pemilik rumah banglo di kawasan bandar iaitu sebanyak RM150 setahun berbanding RM50 sebelum ini.


``Bagi pemilik rumah berkembar setingkat di kawasan bandar, mereka dikenakan cukai sebanyak RM100 berbanding hanya RM40 sebelum ini,'' katanya.
Menurut beliau, pemilik tanah sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dikenakan cukai tanah sebanyak RM9 sehektar berbanding RM6 sehektar setiap tahun.
Katanya, pemilik tanah sawah di luar kawasan MADA pula dikenakan cukai sebanyak RM7 sehektar berbanding RM5 sehektar.


``Bagi kawasan tanaman getah yang berada di dalam bandar, kita mengenakan cukai baru sebanyak RM19 sehektar manakala di luar bandar pula ialah sebanyak RM16 sehektar.
``Sebelum 1 Januari 2006, mereka perlu membayar sebanyak RM16 bagi kedua-dua kawasan tanaman getah sama ada di bandar atau desa,'' jelasnya.


Sementara itu, Mahdzir memberitahu, bagi pemilik bangunan kurang tiga tingkat, mereka dikehendaki membayar RM150 setahun manakala bangunan lebih tiga tingkat, sebanyak RM800 setahun berbanding RM150 setahun.
________________________________________________


Bagi tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian spt padi, getah dsbnya mungkin dilihat mengalami kenaikan cukai yang tidak begitu ketara. Walaupun begitu, ia juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada petani-petani dan penoreh getah. Apa yang menjadi persoalan disini, kenaikan cukai yang agak tinggi bagi tanah-tanah bangunan di kawasan bandar. ini bermakna sewa rumah dan kedai disekitar negeri Kedah berkemungkinan akan dinaikkan berkali ganda berbanding cukai yang telah dinaikkan. Buktinya, kita boleh lihat kenaikan harga minyak dulu walaupun cuma 10 sen, akan tetapi harga barang terus dinaikkan ke paras yang susah untuk diterima akal. Oleh itu, apakah mustahil sewa rumah dan bangunan akan dinaikkan kalau cukainya dah naik?

Harus diingat, kenaikan cukai akan disusuli dengan kenaikan harga sewa bangunan, seterusnya harga barangan yang dijual kepada pengguna juga akan dinaikkan.

"....manakala bangunan lebih tiga tingkat, sebanyak RM800 setahun berbanding RM150 setahun...." ayat ini sudah cukup menggambarkan betapa tingginya kenaikan cukai bagi bangunan 3 tingkat keatas. Secara tidak langsung membayangkan betapa tingginya harga yang terpaksa dibayar oleh pengguna di Kedah. Betullah cukai hanya dikenakan kepada pemilik bangunan, tetapi tempiasnya akan terpercik kepada pengguna dan kita sebagai rakyat marhaen yang tak punya kuasa, BAYAR SAJA LA........

Wednesday, January 11, 2006

Sains Bukti Sembelihan Islam Kaedah Terbaik

Ketika umat Islam sibuk menyambut Aidiladha, masyarakat bukan Islam di Barat terus mempersoalkan mengapa Islam membenarkan perbuatan kejam dan ganas terhadap haiwan. Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas. Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati.

Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar?Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging. Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala.” (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan. Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh.

Kaedah ini dikaji pakar Jerman. Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu. Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP). Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu. Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan. Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia. Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada.

Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu. Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat. Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit. Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak. Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih.

Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain. Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. “Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Tuesday, January 10, 2006

Selamat Hari Raya Aidiladha

Allahhuakbar... Allahuakbar... Allahuakbar... Lailahaillallah Allahuakbar... Allahuakbar Walillahilham....

Hari Raya AidilAdha tiba lagi. Disana sini orang sibuk memperkatakan tentang korban, yang banyak dilihat tentang mengorbankan binatang ternakan. akan tetapi, adakah kita memahami erti sebenar pengorbanan terutama pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu hidup daripada kita... sebagaimana kisah Habil dan Qabil yang mempersembahkan korban untuk menguji keikhlasan hati masing-masing. Kisah Nabi Ismail yang sanggup menyerahkan lehernya untuk disembelih oleh ayahandanya sendiri demi melaksanakan perintah Allah. Kisah junjungan besar Nabi Muhammad yang mengorbankan seluruh hidupnya demi untuk menyebarkan, memperjuangkan dan menegakkan agama Allah. Kisah-kisah inilah yang seharusnya dicontohi oleh pejuang-pejuang Islam masa kini iaitu ikhlas dan sanggup mempertaruhkan nyawa demi memperjuangkan dan menegakkan agama Allah. Buat pejuang Islam di Malaysia, adakah anda sanggup mempertaruhkan nyawa anda seperti mana yang dilakukan oleh As-Syahid Ibrahim Libya yang sanggup mati daripada menyerah diri kepada kezaliman demi agamanya? Tepuk dada, tanya iman.....

_____________________________________________________

Di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pengunjung blog ini terutama kepada Nawwar dan Fira, makcik Salmah dan pakcik Ali sekeluarga, rakan-rakan seperjuangan di ANS dan kepada sesiapa saja yang telah mengunjungi blog ini. Usia blog ini masih terlalu 'muda' dan artikel pun tak banyak. Insyaallah penulis akan kerap update laman ini berdasarkan isu-isu semasa. Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini.

Monday, January 09, 2006

Kondom Percuma....!!!!!!

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mengunjungi Jalan Petaling, di sini, semalam, untuk beli-belah ‘terkejut’ apabila diberikan kondom secara percuma sebagai satu langkah mencegah penularan virus HIV dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS).

Pemberian 3,000 kondom itu sebahagian Kempen Kesedaran HIV/AIDS Kebangsaan anjuran Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) sempena Hari AIDS sedunia yang disambut pada 1 Disember setiap tahun.Kebanyakan orang ramai yang ditemui di sekitar kawasan itu bersetuju dengan pemberian kondom percuma sebagai satu langkah membanteras penularan wabak pembunuh itu.

Pengunjung, Mohd Shariff Abd Haris, 20, berkata pemberian kondom dan pengedaran risalah secara percuma kepada orang ramai sekitar Jalan Petaling dapat menyedarkan mereka mengenai bahaya virus HIV, terutama melalui seks bebas.“Masyarakat sememangnya tahu kawasan ini terkenal dengan kawasan pelancongan dan pemilihannya sebagai tempat pemberian kondom percuma kena pada tempatnya.“Selain itu, mereka berpeluang mengetahui cara mengelakkan diri daripada terkena virus maut ini melalui ceramah dan pameran yang diadakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pendapat Shariff diakui oleh rakannya, Muhamad Asyraf Ahmad Termimi, 18, yang menyokong penuh langkah kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi membanteras penularan virus HIV.“Saya harap kempen dan pemberian kondom percuma dilakukan secara berterusan, terutama membabitkan kawasan tumpuan pelancong sekitar ibu kota.“Mengadakan kempen di kawasan tumpuan sebegini adalah perlu kerana kes dijangkiti HIV semakin meningkat setiap hari,” katanya.Kempen itu adalah lokasi ketiga daripada 20 lokasi yang ditetapkan oleh YMM sejak dilancarkan pada Disember lalu.Kempen berkenaan bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat agar tidak mendiskriminasi atau memandang serong terhadap pesakit AIDS.

Bagi Waziha Hamid, 30, dia kurang bersetuju dengan pemberian kondom percuma kerana seolah-olah menggalakkan budaya seks bebas.“Pemberian kondom percuma menyebabkan aktiviti seks bebas semakin berleluasa dan saya tidak nampak pemberian kondom percuma mampu mengurangkan bilangan penghidap HIV.“Saya lihat kebanyakan mereka yang berminat mendapatkan kondom percuma hanya terdiri daripada remaja belasan tahun dan bukannya orang tertentu seperti penagih dadah yang berkeluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Bukit Bintang, Datuk Dr Lee Chong Meng, ketika berucap meminta pihak berkuasa bersikap lebih terbuka dengan tidak menahan wanita yang membawa kondom.“Biasanya apabila seorang wanita itu ditahan dan diperiksa, polis mendapati wanita terbabit ada membawa kondom dan menganggapnya terbabit dalam kegiatan pelacuran.“Setakat ini, kami sudah menerima tiga aduan daripada tiga wanita yang ditahan selepas polis mendapati terdapat kondom dalam beg tangan mereka,” katanya

__________________________________________________________________

Jika anda perhatikan betul-betul artikel diatas, 2 orang mamat yang mengatakan "bagus kerajaan ni bagi kondom percuma" adalah merupakan remaja belasan tahun yang sudah pastinya belum berkahwin. budak yang tak kahwin pun dapat jugak???? apa kejadahnya depa ni buat dengan menatang tu? dan perhatikan pula komen oleh waziha "....Saya lihat kebanyakan mereka yang berminat mendapatkan kondom percuma hanya terdiri daripada remaja belasan tahun dan bukannya orang tertentu seperti penagih dadah yang berkeluarga...” ini bermakna agenda utama Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM)mengedarkan kondom ini secara percuma adalah untuk menggalakkan budaya seks bebas dikalangan remaja, BUKAN untuk mencegah AIDS.

Sebagai manusia yang mengaku beragama Islam, adakah anda hanya melihat sahaja situasi ini sambil ketawa? Tidakkah anda terasa apa-apa andainya yang diberi kondom percuma itu anak anda sendiri? atau anak gadis anda? Memang dasar MELAYU, tak kisah kalau Islam dihina, tak kisah kalau anak berzina..... Syabas, Pemuda Malaysia.....

Monday, January 02, 2006

Perdajalkan pencuri henpon...!!!!

Ini adalah satu maklumat penting yang bermanfaat untuk dikongsi bersama serta di ketahui ramai untuk mengelak telefon anda digunakan selepas kecurian.

1. Untuk mengetahui Nombor Siri handset telefon bimbit anda: Sila dail - star hash zero six hash (atau begini *#06#). No. Siri 15 digit akan muncul terpapar di skrin handset anda.

2. Catatkan No. Siri ini dan simpan di mana-mana untuk rujukan anda kemudian.

3. Apabila handset anda di curi orang atau pun kehilangan, telefon saja ‘telco’ (syarikat pembekal perkhidmatan GSM anda seperti 012, 019, 013, 016, 017, maxis atau celcom atau digi) dan berikan No. Siri handset anda ini.

Dengan adanya nombor ini, mereka (telco) boleh blok penggunaan handset telefon bimbit anda itu. Dengan ini walau pun pencuri tersebut bertindak menukar kad SIM, handset telefon bimbit anda itu tidak akan boleh digunakan langsung. Jadi dia tak dapatlah nak pakai sendiri atau pun menjualkannya kepada orang lain.

Jika semua orang pemilik handset telefon bimbit lakukan langkah bijak ini, tiada sebab untuk sesiapa cuba mencuri handset lagi.

Majukan mesej ini kepada semua ahli keluarga serta kawan-kawan anda yang mempunyai handset dan marilah kita sama-sama membantu dalam membenteras kegiatan mencuri telefon bimbit ini. Mereka akan terpaksa cari kerja lain yang lebih berfaedah! Cubalah sendiri dulu untuk melihat nombor siri telefon bimbit anda sekarang!

Selamat datang kedalam dunia blog utk diri sendiri

welcome to blog world for myself. hehe.. actually this is my first time guna blog ni. sebelum ni buat website biasa je... apa-apa pun, belum cuba belum tau. ala, ni pun sbb nak tolong org. x yah tau la sapa. i'm just try to know, to experience it. kalau dah tau, baru la boleh tolong org, betul tak... ish merapu betul la haku nih. ye la, dah tak tau nak tulih hapa, first time la katakan.... for everibadi yang baca artikel merapu ni, lepas ni jgn segan2 nak masuk sini lagi yek. artikel lepas ni dijamin x merapu.... penuh dengan informasi dan cerita menarik....