Saturday, January 21, 2006

Bukti Kenaikan Cukai Tanah Membebankan Rakyat

2 hari yang lalu, blog ini telah menyiarkan artikel mengenai kenaikan cukai tanah di Kedah. Penulis telah membuat ramalan mengenai kesan yang terpaksa di tanggung oleh rakyat akibat kenaikan yang tidak masuk akal ini dan pada hari ini, akhbar Berita Harian telah menyiarkan sepucuk surat yang dihantar oleh seorang marhaen dari Kulim yang jelas mempertikaikan kewajaran kenaikan cukai ini. Berikut adalah teks penuh surat tersebut....

Kenaikan cukai tanah di Kedah melampau

TERPANGGIL saya untuk mengulas mengenai kenaikan cukai tanah di negeri Kedah. Baru-baru ini saya ke kaunter Pejabat Tanah Kulim, Kedah dan mendapati ramai yang beratur untuk mendapatkan bil cukai tanah 2006.

Rata-rata yang menerima bil akan bertanya sekali lagi kepada kaunter untuk mendapat kepastian. Semua menggeleng kepala dan merungut. Terkejut saya bila melihat cukai tanah ibu saya. Daripada RM60 dinaikkan kepada RM250 bagi tanah kediaman berhampiran pekan di luar bandar, naik empat kali ganda.

Tanah nenek saya pula tanah kampung naik daripada RM3 kepada RM8. Naik hampir tiga kali ganda. Seorang tauke Cina pula terkejut kerana cukai tanahnya naik dari RM150 kepada hampir RM500, lalu membayarnya juga dan berkata, “Nanti jangan marah kalau saya juga naik harga barang, saya pun tidak berani naik ini macam punya tinggi”.

Selama 10 tahun cukai tanah tidak dinaikkan tetapi dengan kepesatan pembangunan di Kedah, sudah tentu dengan kadar kutipan cukai tanah sedia ada akan berlipat kali ganda. Bayangkan dulunya tanah estet diubah syarat kepada tanah kediaman yang bilangan bil cukai tanahnya berkali-kali ganda banyaknya.

Kalau hendak dinaikkan pun biarlah pada kadar munasabah dan tidak membebankan. Contohnya, naiklah pada kadar 30 hinga 50 peratus bagi setiap lima tahun. Buatlah seperti kadar tol, kenaikan harga barang, kadar cukai pintu dan sebagainya. Bayangkanlah betapa perit dan sakitnya rakyat.

Sudah 10 tahun berjalan kaki di tanah rata, tiba-tiba sekelip mata dipaksa mendaki gunung curam. Biarlah diminta untuk naik tangga terlebih dulu.Diharap kerajaan negeri dapat menimbangkan luahan rasa hati rakyat Kedah.

Wujudkan satu struktur kenaikan kadar cukai tanah yang baru dan paling penting tidak membebankan rakyat. Rakyat gembira dan bahagia, kerajaan juga akan terasa nikmatnya.

YANG MERINTIH,
Kulim, Kedah.

___________________________________________________

Selepas ini tunggulah pula kenaikan harga barang di negeri Jelapang Padi ini. Apa yang pasti disini, kerajaan jelas tidak membuat kajian secara terperinci sebelum mengumumkan struktur cukai baru. Asal nak naik, naik saja ikut suka hati. Ingat, harga barang TIDAK akan turun sekalipun cukai diturunkan pada masa depan. Oleh itu, kerajaan negeri masih belum terlewat untuk menyemak semula struktur cukai ini sebelum harga barang di Kedah merobek poket pengguna.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home